Pilih latar antum dulu ...!

Tuesday, November 8, 2011

LEGASI COUPLE : BUKAN SURUHAN ISLAM,COUPLE TETAP HARAM



Bismiillahirrahmanirrahim. Pada artikel yang lepas ana,ana dah terangkan mengapa diharam couple tetapi mungkin artikel itu terlalu panjang untuk dibaca. Lalu,ana buat artikel baru yang patahnya pendek dan isinya padat. InsyaAllah .
Couple adalah fesyen barat. Di dalam islam kita disuruh berkahwin ataupun bertunang. Ini adalah salah satu cara bagi mengekalkan hukum. Yakni,bila kita bertunang. Kita dan si dia,hubungan telah menjadi harus tetapi ini tidak bermakna kamu memiliki si dia kerana dia masih lagi belum sah buat kamu. Bila kamu berkahwin,maka si dia adalah sah keseluruhannya bagi kamu.
Ayat Al-israa menyatakan dalam ayat 32 ini :
 “Dan janganlah kalian mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Isra’: 32)
Mesti kamu semua akan tertanya-tanya. Couple itu bukan zina jika kami hanya bermesej,call dan dating pun jarang. Ya,itu yang perlu ana rungkaikan bagi menjelaskan kedudukan couple ini. Janganlah kamu mendekati zina.  Ini antara perkara yang boleh menghampiri zina ,

·         Memandang wanita yang tidak halal baginya
·         Menyentuh wanita yang bukan mahram baginya
·         Berkhalwat (berduaan)
·         Berpacaran (bercouple)
Ana bercakap dari pengalaman bukan menuding jari sahaja. Tak kiralah kamu hanya bermesej. Tetapi kamu sedar atau tidak,kamu seringkali mengunakan bahasa indah bila dengan si dia. Ini jelas mendatangkan satu rasa yang seronok dan melekakan.
 Jika kamu hanya call,kamu mungkin tidak sedar bahawa kamu bercakap dengan lemah lembut khususnya di sini buat wanita. Allah sudah berfirman dan ia jelas difahami , "Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong di dalam hatinya” Al Ahzab: 32 . Ingat,aurat kita hanya buat suami.
Bagaimana pula kalau berdating? Ber”e-mail dan lain-lain? Ana tegaskan,ianya tetap haram. Niat tidak sesekali menghalalkan cara. Bila sudah haram,bentanglah beribu alasan,jawapan yang tepat tetap haram.
Ini trend anak muda ! Mungkin itu yang bakal dikatakan. Memang ia menjadi trend tetapi ia bukanlah sunnah nabi. Perlu diingatkan,banyak keburukan bercinta sebelum kahwin ini daripada kebaikkannya, Berapa ramai bayi luar nikah yang dibuang sana sini? Itu kerana couple yang mengikut nafsu. Cuba kita fikir,tenangkah kita semasa couple? Atau mungkin lagi tenang bercinta lepas kahwin?
Bukan meruntuhkan hubungan,tetapi menyelamatkan. Cuba anda senaraikan kebaikan dan keburukan couple ini. Anda akan temukan jawapan yang pasti. InsyaAllah. Ingatlah,kita kena percaya pada Allah. Kamu merancang,Allah juga merancang tetapi rancangan Allah lebih baik kerana dia adalah Rabb kita. Semua yang berlaku ada hikmahnya,diambil sebagai pengajaran.
Jangan bila kamu menyesal,baru kamu faham kenapa semua ini ada baik dan buruknya. Sebaliknya beristikharah,itu jalan penyelesaian dan kemudian tawakal. Yang pasti Islam jelas melindungi kita bukan memerangi apa sahaja yang kita lakukan. Wallahualam. Wassalam. 

FESYENISTA SHAWL,PASHMINA DAN LAIN-LAIN

Assalammualaikum,sudah lama tak post apa-apa dekat blog ini. Sorry bagi semua pengunjung baru atau lama yang terpaksa baca artikel-artikel yang dah lama. So,hari ini ana nak bawa satu topik khas. FESYEN SHAWL DAN PASHMINA.
Topic ana ini adalah mengetengahkan,pemakaian tudung yang bermacam fesyen. Sekarang inikan sudah ada berbagai fesyen macam pashmina,shawl. Tak menjadi masalah dengan fesyen sekarang ini. Tetapi punca masalah ini adalah bagaimana rekaan fesyen tersebut. Sekarang ini sudah ramai artis-artis tempatan berhijrah memakai tudung. Alhamdulillah,itu satu hidayah kepada mereka. Bukankah Allah pernah berfirman,Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu hamba melainkan hamba itu sendiri mengubahnya.
Siapa kata memakai shawl,pashmina dan tudung lain-lain ini salah? Tidak,bukan salah cuma belum menepati kehendak agama islam. Apa yang agama mahu adalah menutup aurat. Ana pun kadang-kadang pakai pashmina. Cuma dalam pemakaian ini kita kena titikberatkan agama. Remaja sekarang sudah ramai menyukai fesyen macam ini,so disini ana ingin terangkan lebih terperinci kenapa ana kata belum menepati kehendak.
  • a)      Selendang yang nipis kainnya : Bila kita pakai selendang,masih menampakkan kulit badan kita. Pakai selendang mestilah kena selendang yang tebal.
  • b)      Selendang yang pendek : Mungkin ada orang akan tanya,selendangkan memang pendek? Ya , memang pendek tetapi kita boleh melabuhkannyakan? Ana syorkan pemakaian pashmina,sebab pashmina adalah kain selendang yang labuh.
  • c)      Lilitan selendang yang menampakkan aurat : Contoh terdekat adalah,memakai selendang tetapi Nampak telinga dan anting-anting. Bukankah telinga itu juga aurat?
  • d)   Aksesori yang melampau-lampau: Kalau setakat dua atau tiga brooch comel-comel,it doesn’t matter but..ditambah dengan topi,reben dan macam-macamlah. Sedikit ilmu disini              Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah) -"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
  • e)      Berselendang tetapi niat bertabbaruj : Minta perhatian disini,bertabbaruj adalah berhias diri. Kita kena ikhlaskan hati bila memakai sesuatu dan berniat kerana Allah. Jangan ambil remeh tentang perkara yang satu ini.



   Setakat ini dulu pemerhatian dan nasihat ana pada antum semua. Semoga diambil sebagai sandaran diri sebelum melangkah ke dunia luar. Yang pastinya,ana masih manusia yang baru belajar berdakwah. Yang baik datangnya dari Allah,yang buruk pastinya ada kesilapan dalam diri ana. Moga-moga niat ana ini diredhai Allah dan kepada para pencinta fesyen,berhias biarlah hanya kerana Allah dan menutup aurat. Tidak salah berfesyen tetapi berfesyenlah seperti Al-quran telah jelaskan. Sama-sama meraih pahala dan menyingkirkan dosa . Increase faith and decrease all the bad,non-legal thing. Wallahualam , wassalam . 

Luahan remaja buat kekasih ayah

  Auntie, kurayu padamu, nasihatkanlah ayah saya...”

Salah Faham

          Saya  sudah menerima sekian banyak aduan remaja berkaitan dengan masalah kecurangan ayahnya di belakang ibu. Curang tidak hanya bermakna berzina, curang juga bermaksud mempunyai skandal, bercinta dan 'berkawan-kawan tapi mesra'. Masalah ini memberi tekanan yang sangat berat kepada seisi keluarga.
Kesannya, ramai remaja yang berdendam kepada ayah. Lebih menyedihkan, ramai juga remaja yang semakin jauh daripada Allah SWT, lantaran sikap ayah membuatkan mereka tersalah faham kepada Islam.
Kononnya, Islam tidak memahami kesedihan ibu dan beban tugas yang dipikul oleh ibu, malah membenarkan cinta ibu diduakan. Sedangkan ayah? Ayah dianggap ada ruang lebih bagi melampiaskan nafsu. Malah, berpeluang cabut lari daripada tugas mendidik anak dengan berkahwin lagi. Di mana adilnya Islam? Bergolak jiwa remaja memendam sendirian. Oh, kasihan pada remajaku sayang apabila diuji persoalan begini, dia membuang Allah dari hidupnya padahal Allahlah Tuhan yang paling memahami kesedihannya. Mari kembali pada Kekasih Agungmu.
Saya hadirkan di sini suatu luahan kepada kekasih ayah, yang dapat mewakili suara hati remaja seterusnya merungkai kekeliruan. Semoga ia dapat menyentuh, bukan sahaja hati kekasih ayah malah hati seorang ayah supaya banyak memuhasabah diri.

Perhatian!

Apabila artikel ini menyentuh persoalan sensitif iaitu poligami, ia bertujuan  menyeimbangkan antara pendapat yang menggalakkan poligami dengan pendapat yang mengharamkan poligami. Artikel ini mengajak pembaca berada di pertengahan iaitu poligami cuma suatu 'rukhsah' (keringanan), bukan digalakkan, bukan pula diharamkan.
 Ia tidak menghukum pengamal poligami secara pukul sama rata. Tiada niat melukakan hati sesiapa. Ada poligami yang dilaksanakan secara terhormat dan ada poligami yang dilaksanakan secara tidak terhormat. Melakukan sesuatu perkara secara terhormat memang wajar untuk dihormati,begitulah sebaliknya.
Apa yang saya maksudkan sebagai berpoligami secara tidak terhormat adalah:
1.    Curang. Terlebih dahulu menjalin hubungan cinta yang lain di belakang isteri.
2.    Tidak mengikut saluran undang-undang yang betul, kerana takut disahkan oleh mahkamah sebagai seseorang yang tidak mampu berlaku adil. Sudah yakin diri tidak akan mampu berlaku adil, namun tetap berpoligami di luar negara dan mengenepikan proses undang-undang.
3.    Tidak mengamalkan syura dengan isteri dan keluarga terlebih dahulu, menyebabkan isteri merasakan Islam tidak menghargai pendapat mereka.
4.    Tidak mempunyai sebab kukuh bagi berpoligami, yang boleh menyebabkan hati isteri redha dengan keputusannya seterusnya redha untuk mengekalkan tujuan perkahwinan iaitu mawaddah, warahmahdan sakinah.
5.    Memaksa isteri merelakan kemahuan suami bagi berpoligami dengan beralasankan justifikasi agama tanpa dalil yang kukuh, dan tanpa mengkaji dengan adil (seperti mengatakan poligami itu sunnah Nabi, dan hukum al-Quran.  Dikatakan, isteri tidak berhak untuk cemburu kerana cemburu itu hanya hak lelaki. Isteri yang cemburu apatah lagi tidak bersetuju dilabel sebagai penentang sunnah dan penentang al-Quran).
6.    Berkahwin lagi secara sembunyi-sembunyi dan merahsiakannya.
7.    Menjadikan poligami sebagai penyelesaian mudah dalam apa-apa jua masalah dengan isteri tanpa berfikir lebih panjang dan berbincang dengan matang.
8.    Sekiranya dia seseorang yang mampu berlaku adil, dia berpoligami tanpa ada apa-apa kekurangan pada isteri yang mendesaknya mengambil 'rukhsah' untuk berpoligami seperti isteri gila, tidak bernafsu, tidak mampu melahirkan anak dan sebagainya.Pendek kata, dia mengambil mudah dalam urusan ini tanpa menghormati hati dan perasaan isteri serta anak-anak.
Sementara itu, apa yang saya maksudkan sebagai berpoligami secara terhormat pula adalah lawan kepada perkara-perkara di atas.

Catatan Remaja

Assalamualaikum wa rahmatullah…
Auntie,
Tujuan saya menulis catatan ini bukan untuk memarahi auntie ataupun mengumpat ayah saya. Saya cuma mahu mencurahkan pertimbangan-pertimbangan yang wajar untuk auntie renungi sebelum terus menjadi kekasih ayah saya. Fikir dalam-dalam sebelum menjadi isteri keduanya. Niat saya jelas, bukan sekadar meluahkan tetapi mencari penyelesaian. Semoga Allah meredai niat saya.
Saya menulis kepada auntie kerana saya yakin hati wanita auntie lebih lunak berbanding hati lelaki ayah. Saya tidak kisah jika nanti auntiememberitahu ayah saya dan dia memarahi saya. Ini kerana saya menulis kerana Allah SWT dan saya yakin Allah SWT akan membela saya. Keputusan yang bakal auntie ambil, diharap sudah mengambil kira kepentingan banyak pihak.

Auntie yang budiman,

Pernahkah auntie membayangkan kesedihan ibu dan adik-adik saya ketika ini?
Pernahkan  auntie merasai perit dan sukarnya ibu kami membesarkan kami tanpa seorang suami yang ringan tulang menghulurkan walau secebis bantuan dalam urusan rumah tangga seharian?
Pernahkah auntie bertanya sejauh mana ayah bertanggungjawab mendidik dan membahagiakan kami selama ini?
Pernahkah auntie memikirkan sebanyak mana masa yang ayah peruntukkan untuk isteri dan anak-anaknya selama ini?
Pernahkah auntie mengkaji beban ekonomi ayah?
Keadilan seorang lelaki bukan hanya dapat dilihat selepas dia berpoligami. Namun, ketika seorang lelaki mempunyai seorang isteri, keadilannya sudah dapat diukur. Ya, kerana 'adil' itu ialah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. 'Adil' kah seorang suami yang curang di belakang isteri, bercinta dengan wanita lain atau meminati wanita lain sedangkan isterinya di rumah begitu setia menjaga cinta? Adakah 'melampias nafsu' itu tujuan poligami Nabi? Adakah suami itu telah meletakkan syariat Allah kena pada tempatnya dalam situasi ini? Jika tidak, justeru tidak takutkah auntie dengan pencabulan syarat adil yang bakal dilakukannya setelah berkahwin nanti? Saya pohon, fikirlah lebih jauh!

Auntie yang saya muliakan,         

Apabila seorang lelaki mahu berkahwin lagi, saya sering mendengar cemuhan kepada isteri kononnya tidak memuhasabah diri, kerana itulah suami mahu mencari yang lain. Ya, di satu sisi mungkin ada benarnya. Namun, cemuhan ini tidak adil ditujukan kepada golongan isteri seratus peratus.
Sanggupkah auntie mengahwini seorang lelaki yang tidak berusaha mendidik kekurangan isterinya? Sebaliknya menghukum isteri dengan ugutan hendak berkahwin lagi sebagai satu tindakan 'padan muka'? Setiap hari meragut 'sakinah' (ketenangan) keluarga dengan lawak tidak bermutu, ingin berkahwin lagi. hingga lawak itu melunturkan rasa 'mawaddah' (kasih sayang) dan 'rahmah' (kasihan belas). Adakah ini suatu tindakan seorang lelaki berwibawa?
Lelaki sebegini bukanlah calon suami yang baik kerana dia bertindak lari daripada masalah, bukan menyelesaikan masalah. Ia bakal mewujudkan masalah baru yang jauh lebih dahsyat. Bagaimana pula nanti sekiranya auntiemempunyai kekurangan, auntie rela kekurangan itu terus dihukum? bukannya diperbaiki dengan bijaksana?

Auntie yang dihormati,      

Maafkan saya sekiranya saya terkasar bahasa bertanya,
Adakah auntie mengambil rukhsah (keringanan) untuk hidup berpoligami sebab takut berzina?
Setujukah auntie jika saya katakan, biasanya orang yang terpaksa berkahwin sebab takut berzina adalah orang yang hidupnya memang dekat dengan jalan-jalan zina. Sedangkan jalan-jalan zina itu Allah tegah menghampirinya di dalam al-Quran.Mampu berlaku adilkah orang yang menawarkan cinta dengan jalan-jalan yang menghampiri zina? Bukan itu suatu perbuatan yang tidak adil? (Tidak meletakkan sesuatu kena pada tempatnya).
Sanggupkah auntie mengahwini seorang lelaki yang selama ini mengheret auntie ke jalan-jalan zina seperti asyik call, sms, dan dating tanpa keperluan? Berkatkah rumah tangga yang mahu dibina atas dasar maksiat tanpa taubat?
Berwibawakah seorang lelaki yang menjalin hubungan haram di belakang isterinya? Sedangkan kehidupan berkeluarga tenang dengan kesetiaan dan kejujuran.
Mampu berbincangkah seorang lelaki yang mahu membina kehidupan baru tanpa menghormati pendapat keluarganya? Sedangkan ketua keluarga yang berkepimpinan sentiasa mengamalkan syura seperti saranan al-Quran.
Mampukah seorang lelaki menguruskan dua orang wanita? Sedangkan isteri dan anak-anaknya yang sedia ada tidak dibahagiakan dan dibangunkan kualiti mereka dengan sehabis baik.

          Auntie yang penyabar,

Apa yang auntie faham berkenaan poligami?
Adakah auntie memahaminya seperti ayah yang sering mendesak ibu agar menerima untuk dimadu, kerana mendakwa poligami itu sunnnah Nabi? Ketahuilah duhai wanita yang kuhormati, tidak semua perkara yang Rasulullah SAW lakukan itu hukumnya sunnah (digalakkan).
Ada perkara yang Rasulullah SAW lakukan, hukumnya haram bagi kita, dan ada juga perkara Rasulullah SAW lakukan yang hukumnya makruh untuk kita. Contohnya, Rasulullah SAW berkahwin sampai sembilan orang dalam satu masa, hukumnya adalah haram bagi kita kerana al-Quran menjelaskannya begitu. Ia khusus hanya untuk Nabi.
Rasulullah juga mencium isterinya pada siang hari bulan Ramadhan, itu tidak bermakna hukumnya sunnah dan digalakkan bagi kita. Apabila Baginda memberi fatwa, baginda menegahnya kepada golongan muda dan mengharuskannya kepada golongan tua. Banyak lagi contohnya, terlalu banyak.
Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, al-Jami’ li Ahkam Al-Quranyang berjumlah 20 jilid besar  menyatakan: “Allah SWT mengkhususkan untuk Rasul-Nya hukum-hakam syarak yang tidak dikongsi oleh umatnya, sama ada yang berkaitan dengan hukum wajib, haram mahupun halal sebagai kelebihan Baginda di atas umatnya. Ada hukum yang diwajibkan ke atas Baginda tetapi umatnya tidak diwajibkan. Begitu pula ada yang diharamkan ke atas Baginda sedangkan ia tidak diharamkan ke atas umatnya; dan ada juga perkara yang dibenarkan untuk Baginda, manakala umatnya tidak dibenarkan melakukannya. Bagaimanapun, hukum-hakam ini ada yang disepakati oleh ulama berkenaannya dan ada juga perbezaan di kalangan mereka.”

Poligami Cuma "Rukhsah" Bukan Digalakkan

Berkait dengan poligami, terlalu banyak dalil oleh jumhur ulama sedunia yang menunjukkan hukum asalnya bukan sunnah cuma harus. Ruangan agak terhad untuk saya bentangkan satu persatu dalilnya. Islam mengharuskan poligami sebagai 'rukhsah' bukan menggalakkannya, demikian pendapat jumhur ulama sedunia.
Syeikh Muhammad Abduh menegaskan bahawa orang yang merenungi dua ayat iaitu Surah al-Nisa’, ayat 3 dan Surah al-Nisa’, ayat 129 nescaya akan faham bahawa poligami dalam Islam adalah perkara yang sangat berat, tidak boleh dilakukan kecuali dalam keadaan yang sangat terpaksa.Jika dikaji tafsirnya, ayat-ayat itu berbentuk ancaman bukannya galakan. (Ancaman kepada dekatnya berbuat aniaya (An-Nisa', ayat 3) dan ancaman kepada melebihkan isteri yang dicintai dan membuatkan isteri yang lain terkontang-kanting (An-Nisa': ayat 129) )[1]
Jumhur ulama menegaskan, Ayat 3 mensyaratkan syarat adil untuk berpoligami, ia satu syarat yang berat dan pasti disoal Allah. Ayat itu juga menyusun fiqh keutamaan bahawa berkahwin satu lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya, itu lebih utama.
Manakala ayat 129 pula, Allah menjelaskan bahawa setiap lelaki pasti tidak akan mampu berlaku adil walaupun dia amat menginginkannya. Ayat ini menguatkan lagi hujah bahawa poligami sebenarnya tidak digalakkan dalam Islam. Seperti yang dijelaskan, ia berisiko dekat kepada berbuat aniaya dan berisiko membiarkan mana-mana isteri terabai akibat kecenderungan cinta yang tidak dapat dielak.
Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan bahawa, poligami yang disebutkan dalam ayat itu tidak bererti memberikan dorongan (targhib) tetapi menunjukkan sikap yang tidak disukai (tarhib). Sekiranya orang yang hendak berpoligami itu berfikir berkenaan syarat keadilan tersebut, nescaya dia hanya akan berkahwin satu sahaja.
Menurut beliau lagi, amalan poligami serupa dengan amalan perhambaan[2]. Hukum asalnya harus dan hingga kini masih disebut oleh al-Quran. Namun peredaran zaman, keadaan masyarakat dan kemaslahatan boleh berpengaruh kepada hukum harus, dan berubah menjadi hukum yang lain.

Bolehkah Memaksa Isteri Agar Terima Dimadukan?

Dalam wasiat terakhir Rasulullah, Rasulullah tidak membenarkan mengambil mudah soal wanita. Baginda pernah berwasiat berkenaan tiga perkara yang selalu diulang-ulang sehingga suaranya habis iaitu: Solat, hamba/pembantu, dan isteri yang dinikahi dengan amanah Allah dan menjadi halal kehormatannya dengan menyebut kalimat-Nya.
Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya, Nahwu al-Tafsir al-Maudu’I li Suwari Al-Quran,  poligami dalam Islam mempunyai aturan khusus, tidak seperti di Barat yang lelakinya mempunyai satu isteri tetapi isteri haramnya sampai sepuluh. Dalam Islam, lelaki bujang yang tidak mampu berkahwin dianjurkan berpuasa, soalnya bagaimana pula lelaki yang tidak mampu berpoligami?
Menurutnya, orang seperti itu tidak boleh dibiarkan, ia tidak akan mampu berlaku adil. Ghazali juga melihat dalam perkahwinan tidak boleh ada paksaan. Oleh itu, wanita bebas  menerima ataupun menolak untuk dimadu.
Rasulullah SAW sendiri melarang semua puteri-puterinya daripada dimadu menurut hadis sahih Bukhari dan Muslim kerana takut agama mereka rosak lantaran cemburu, syarah Imam Nawawi. Baginda pula berpoligami selepas kewafatan isteri pertama dan ketika anak-anak sudah mula berkeluarga. Itupun atas sebab utama bagi membela golongan janda yang suaminya syahid dalam perang. Zaman itu zaman perang. Wanita pun jadi tidak terlalu cemburu (cemburu tetap ada) seperti hari ini kerana amat yakin dengan niat mulia suaminya.
Pada zaman jahiliah, manusia melampau-lampau dalam meramaikan isterinya sehingga Islam datang dan menyuruh mengurangkannya, maksimum empat sahaja. Wanita muslimah pada zaman itu dapat menerimanya kerana Islam kelihatan membela wanita. Islam tidak menyuruh menambah bahkan menyuruh mengurangkan. Ternyata, Islam bijaksana menghadapi situasi yang melampau pada masa itu dengan peraturan yang bersederhana.

Fitnah Islam Agama Poligami

Berkata Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, para gerakan Kristian dan orientalis menjadikan topik poligami seakan-akan, ia adalah syiar daripada syiar-syiar Islam, ataupun wajib daripada kewajipan-kewajipan Islam, atau sekurang-kurangnya galakan daripada galakan-galakan Islam. Dakyah ini adalah sesat lagi menyesatkan.
          Asal yang mendominasi dalam perkahwinan Muslim adalah berkahwin satu, yang mana isterinya yang itu menjadi penenang dirinya, pelembut hati, pengurus rumah tangga dan tempat menyimpan rahsia. Dengan itu, terbinalah atas keduanya ketenangan, kasih sayang dan kerahmatan yang menjadi teras kehidupan perkahwinan dalam pandangan Al-Quran. (Qaradhawi, Markazul mar’ah fil hayatil islamiyyah)

Auntie yang bijaksana,

          Tahukah auntie apakah fahaman segelintir golongan lelaki yang sering menggoncang keyakinan kaum wanita terhadap agamanya?
Mereka mendakwa poligami soal keimanan. Isteri yang menolaknya dikira tidak beriman. Hujah ini mengikut nafsu lelaki! Poligami bukan soal keimanan. Ia soal keharusan yang diberikan hak individu oleh Islam. Sama ada mahu ataupun tidak mahu, rela ataupun tidak rela, ia suatu pilihan.

Auntie yang cantik jelita hingga ayah tergoda,

Fikirlah seribu kali bagi memilih menjadi yang kedua, ketiga dan keempat kerana kebahagiaan yang auntie idamkan mungkin terbina di atas keruntuhan kebahagiaan orang lain. Pasti hidup tidak akan tenang dililit dendam dan kemarahan.
          Sudahkan auntie berusaha mendapatkan lelaki bujang, lelaki duda ataupun lelaki lanjut usia yang baik agamanya sebelum memilih suami orang? Golongan ini wujud di mana-mana. Rasulullah sendiri berpesan supaya lebih utama menikahi gadis berbanding janda, maka lebih utama auntie mencari lelaki bujang berbanding suami orang.
Jangan cepat mengatakan ini sudah takdir saya, sedangkan auntie sendiri tahu bahawa takdir itu boleh berubah dengan doa dan usaha, biarpun hakikat semuanya sudah berada dalam ilmu Allah SWT. Firman Allah SWT, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum meliankan dia mengubah nasibnya sendiri. (Surah ar-Ra’d). Kita hanya menyebut ia takdir apabila ia sudah berlaku. Sebelum ia berlaku, ia masih suatu pilihan kerana kita tidak tahu apa takdir kita. Fahami dengan benar konsep takdir.
          Janganlah menganggap ibu saya mementingkan diri dan emosional jika dia menolak dimadu. Ingatlah, wanita yang kesedihan apabila suaminya mahu berpoligami bukannya lebih memikirkan dunia berbanding akhirat. Kesedihannya lahir daripada besarnya cinta dan kerana takut terjebak ke dalam kezaliman. Oleh sebab itu, tidak hairanlah Rasulullah SAW sendiri melarang Sayidina Ali memadukan Fatimah Az-Zahra dalam hadis sahih Bukhari Muslim. Fatimah Az-Zahra, ketua bidadari syurga itu sudah tentu lebih memikirkan akhiratnya berbanding dunia.

          Auntie, bayangkanlah tempat ibu,

Ketahuilah bahawa ibu sudah menghadiahkan ketundukan hati yang amat sukar ketika mendengar suara hati ayah bagi menduakannya. Ibu diam dan bersabar. Diam ibu bukan memendam tetapi merancang untuk berbincang dengan hikmah.
Bukankah auntie dapat bayangkan, bagaimana peritnya jika kekasihauntie memiliki kekasih yang lain? Seperit itulah hati ibu ketika mengetahui hubungan auntie dengan ayah, namun dia memilih untuk bersabar. Itu lumrah cinta seperti mana kata Ibnul Qayyim, cinta mengharapkan penunggalan cinta daripada kekasihnya. Dari segi perasaan antara lelaki dan perempuan sama sahaja. Sekiranya suami tidak rela isteri menduakannya, begitulah juga isteri sebenarnya tidak rela diduakan. Cuma, bezanya pada kemampuan dan tanggungjawab. Dalam masalah poligami, ia bergantung pada syarat yang sangat ketat.
Kata ibu, sekiranya ayah tetap memilih auntie, dia redha dan minta dibebaskan. Dalam Islam, wanita ada rukhsah minta dibebaskan sekiranya ada sebab. Ibu punya sebab yang kukuh. Ibu takut agamanya rosak kerana cemburu. Biarpun ada yang menghukumnya mengikut nafsu, dia tenang sahaja kerana dia tahu Allah lebih mengerti niatnya.
Kata ibu lagi, sekiranya ayah tetap memilih auntie, doa ibu, semoga kedudukan sabarnya itu melonjakkan darjatnya di sisi Allah, sehinggakan ayah tidak layak untuk bersanding dengannya lagi di akhirat.
Sekiranya ayah tetap memilih auntie, ibu berdoa semoga di syurga, dia akan menolak lamaran ayah dan memilih pasangan akhirat yang jauh lebih baik daripada ayah. Biarlah ayah terus bahagia di sisi auntie kerana bahagia di dunia sementara belaka.
Itu kata ibu. Sebagai anak, saya minta dan merayu agar hati dan perasaan ibu yang tidak rela dimadu itu dihormati. Saya merayu agar auntie tidak mengambil masa ayah yang memang terhad untuk bersama ibu dan mendidik anak-anak. Kami hidup pada zaman yang sangat perlukan perhatian dan bimbingan lebih seorang ayah.

Auntie yang baik hati,

Nasihatkanlah ayah saya, supaya berusaha sehabis daya terlebih dahulu mewujudkan mawaddah, warahmah dan sakinah sebelum menggadaikan kebahagiaan itu, dengan berfikir untuk berpoligami.
Nasihatkanlah ayah saya supaya banyakkan berfikir berkenaan keperluan pendidikan anak-anak yang mengharungi zaman moden serba mencabar. Bukankah memiliki satu isteri itu lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya? Tidak zalim terhadap isteri dan anak-anak! Poligami cuma harus untuk keperluan-keperluan tertentu sahaja. Semoga kita bertakwa.
Semoga wanita baik seperti auntie akan menemui jodoh yang jauh lebih baik daripada ayah saya. Terima kasih atas kebaikan dan kesabaran auntiemenghabiskan isi luahan ini. Semoga Allah redha.

Remaja.



[1] Walaupun Syeikh Muhammad Abduh mempunyai ramai penentang pada zamannya, namun sifat kita sebagai penuntut ilmu, melihat kepada apa yang dikata, bukan siapa yang berkata sebagaimana saranan Sayidina Ali ("Lihatlah apa yang dikata, bukan siapa yang berkata."). Wajarkah kita mencaci diri Syeikh Muhammad Abduh? Jika direnung lebih jauh, Imam Syafi’e sendiri pernah memberi fatwa penzina lelaki boleh berkahwin dengan anak zinanya. Fatwa ini ditentang hebat oleh majoriti ulama. Mereka mencela kepada fatwa ini sahaja bukan kepada keseluruhan watak, peribadi, dan fatwa-fatwa lain oleh Imam Syafi’e yang mulia itu. Oleh itu, tidak wajar menolak keseluruhan pendapat Muhammad Abduh hanya kerana beberapa pendapatnya yang tidak dipersetujui. Apatah lagi jika ada di antara pendapatnya yang mempunyai nilai ilmiah yang tinggi dan disokong pula oleh kekuatan dalil para jumhur ulama sedunia.

[2] Bagi mereka yang membenci Syeikh Muhammad Abduh yang mulia ini, diingatkan bahawa kebencianmu kepada dirinya, sepatutnya tidak menghalang bagi mengkaji pendapat-pendapatnya. Orang yang menolak semua kata-katanya menunjukkan dirinya tidak bersikap ilmiah dan berlapang dada.
Sedangkan Rasulullah SAW sendiri pernah menggunakan kata-kata orang  jahiliah contohnya, “Bantulah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi.” (Rujuk Bukhari (2263) dan Muslim (4681). Dalam Kitab Fathul Bari, Ibnu Hajar mengatakan orang pertama yang mengungkap kata-kata ini adalah Jundub bin al-Anbar bin Amru, yang menjadi suatu prinsip dalam masyarakat jahiliah. Mereka membantu atas dorongan perkauman. Sekiranya seseorang itu daripada kaum mereka, mereka akan membantunya sama ada orang itu dizalimi ataupun sedang berbuat zalim. Sedangkan Rasulullah SAW menggunakan ayat mereka ini dengan tafsiran berbeza, membantu saudara yang zalim bermaksud mencegahnya daripada kezaliman.
Jelas kepada kita, Rasulullah SAW tidak menolak mentah-mentah, kata-kata musuh apatah lagi kata-kata saudara seislam, melainkan baginda memperhalusinya terlebih dahulu. Itu jugalah yang disarankan oleh Sayidina Ali semasa berkata, lihatlah apa yang dikata, bukannya siapa yang berkata.      

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...